Wednesday, 12 September 2012
Monday, 23 July 2012
Kedah Jelapang Padi (Rice Bowl of Malaysia)
Kedah merupakan negeri yang terletak di utara Malaysia dan terkenal dengan jolokan Jelapang Padi. Negeri Kedah mengikut sejarahnya telah bermula seawal 110 Masihi. Penemuan-penemuan sejarah seperti kuil, jeti terus, tapak peleburan besi dan tugu-tugu batu bata tanah liat di Lembah Bujang membuktikan wujudnya penempatan-penempatan awal dan laluan perdagangan yang beroperasi sekian lama di kawasan-kawasan tersebut. Begitu juga peranan Gunung Jerai yang menjadi petunjuk untuk kapal-kapal pedagang di laut. Keunikan negeri Kedah Darul Aman ini tidak hanya di beberapa tempat bahkan seluruh bumi Kedah menyimpan pesona alam yang tersendiri dengan pemandangan yang indah dan menakjubkan.
Khazanah seni dan budaya juga terukir di sini. Pengaruh dari negeri Thailand atau lebih dikenali sebagai Siam begitu unik kerana corak budaya, gaya percakapan dan makanan begitu mewarnai masyarakat Kedah. Oleh kerana itu, tidak hairanlah sebahagian besar masyarakat Kedah terutamanya yang tinggal berhampiran sempadan Kedah-Thailand fasih berbahasa Siam. Pengaruh Siam begitu besar di kalangan masyarakat Kedah sepertimana negeri-negeri lain yang bersempadan dengan negara asing. Tidak sukar untuk mencari makanan yang mempunyai pengaruh Siam seperti pulut yang dimakan bersama buah mangga masak dan juga tomyam yang sinonim dengan masyarakat Siam, terdapat pelbagai jenis makanan yang mempunyai pengaruh Siam. Namun pastinya tiada siapa dapat melupakan keunikan laksa yang menjadi makanan tradisional masyarakat Kedah dan juga laksam Kedah yang pastinya berbeza dengan laksam yang terdapat di pantai timur. Makanan-makanan tempatan juga dapat anda temui di sini dengan mudah kerana terdapat gerai-gerai yang menjual snek-snek tempatan di sepanjang jalan dengan harga yang murah dan pastinya sukar ditemui di tempat-tempat lain. Makanan-makanan unik seperti gulai batang pisang atau gulai kawah, rendang daging kedah, ketupat daun palas dan bubur asyura yang hanya terdapat pada hari keraian seperti kenduri kahwin, Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha serta Hari Asyura. Perbezaan makanan yang terdapat di Kedah menunjukkan bahawa Kedah mempunyai identiti yang unik dan tersendiri yang pastinya berbeza dengan negeri-negeri lain.
Sekitar kawasan Jitra-Jerlun
Hamparan sawah padi yang menghijau dan kekuningan menggamit para pengunjung untuk melihat panorama alam yang mengasyikkan ini. Sebahagian besar masyarakat Kedah masih mengusahakan tanaman padi dengan bantuan teknologi moden. Namun di sebahagian tempat, cara tradisional masih diamalkan seperti penggunaan kerbau untuk membajak sawah. Untuk pengunjung yang ingin merasai suasana perkampungan tradisional bercirikan kedesaan yang indah ini, pengunjung disarankan untuk melawat pada pertengahan tahun mulai bulan Mei. Sekiranya berkesempatan berkunjunglah pada musim buah-buahan, pastinya banyak buah-buahan tempatan yang unik dan jarang dijumpai di bandar-bandar besar dapat anda temui di sini.
Taman Golf Darul Aman, Jitra
Subscribe to:
Comments (Atom)
